SEOUL 12 Okt. - Zon Eropah memerlukan kira-kira dua trilion euro (RM8.6
trilion) - hampir lima kali ganda daripada saiz bantuan yang diterima sebelum
ini, untuk menangani krisis hutang, menurut bekas Perdana Menteri Britain,
Gordon Brown.
Beliau berkata demikian selepas beberapa jam pembuat dasar Slovakia mengundi
menentang peluasan Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF), meningkatkan
kebimbangan para pemimpin Eropah mengenai peluang untuk menyelesaikan
hutang.
Brown berkata, dana kestabilan itu hanya berjumlah 400 bilion euro (RM1.72
trilion) dan kebanyakan rakyat berpendapat dana itu lebih diperlukan untuk
menahan tekanan melebihi dua trilion euro (RM8.37 trilion)
''Berikutan itu, kita perlu mencari penyelesaian kepada masalah ...meskipun
ketika negara-negara Eropah tidak bersedia untuk mengundi bagi dana bantuan
lebih besar,'' katanya.
Beliau berkata, Britain telah menolak untuk menandatangani bantuan tersebut
disebabkan kelemahan dalam pendekatan bagi menangani krisis hutang itu.
Brown berpendapat mata wang tunggal tidak mampu membantu tetapi hanya melalui
kerjasama fiskal.
Slovakia hari ini menolak peluasan bantuan EFSF 440 bilion euro (RM1.89
trilion).
Keputusan itu telah menghalang usaha Kesatuan Eropah untuk merombak dana
bantuan memandangkan mereka berusaha untuk menangani kegagalan hutang di Greek
merebak kepada ekonomi-ekonomi dan bank-bank, dikhuatiri boleh mengakibatkan
satu lagi kemelesetan kewangan.
Berikutan itu, Brown meminta Kumpulan 20 dan ekonomi-ekonomi baharu muncul
untuk memainkan peranan bagi mengatasi krisis di Eropah dan Amerika Syarikat,
yang mana boleh menganggu pasaran-pasaran baharu muncul.
Beliau membayangkan, pinjaman daripada China dan negara-negara minyak yang
kaya juga sebagai salah satu usaha.
Tambahnya, pasaran-pasaran baharu muncul kini hanya bergantung kepada
permintaan daripada ekonomi-ekonomi maju yang mempunyai populasi yang kecil.
''Sekiranya ekonomi Eropah tidak berkembang dalam beberapa tahun akan datang,
seluruh dunia akan menderita,'' kata Brown. - AFP