Rabu, 12 Oktober 2011

Krisis hutang: Zon Eropah perlu bantuan

SEOUL 12 Okt. - Zon Eropah memerlukan kira-kira dua trilion euro (RM8.6 trilion) - hampir lima kali ganda daripada saiz bantuan yang diterima sebelum ini, untuk menangani krisis hutang, menurut bekas Perdana Menteri Britain, Gordon Brown.
Beliau berkata demikian selepas beberapa jam pembuat dasar Slovakia mengundi menentang peluasan Kemudahan Kestabilan Kewangan Eropah (EFSF), meningkatkan kebimbangan para pemimpin Eropah mengenai peluang untuk menyelesaikan hutang.
Brown berkata, dana kestabilan itu hanya berjumlah 400 bilion euro (RM1.72 trilion) dan kebanyakan rakyat berpendapat dana itu lebih diperlukan untuk menahan tekanan melebihi dua trilion euro (RM8.37 trilion)
''Berikutan itu, kita perlu mencari penyelesaian kepada masalah ...meskipun ketika negara-negara Eropah tidak bersedia untuk mengundi bagi dana bantuan lebih besar,'' katanya.
Beliau berkata, Britain telah menolak untuk menandatangani bantuan tersebut disebabkan kelemahan dalam pendekatan bagi menangani krisis hutang itu.
Brown berpendapat mata wang tunggal tidak mampu membantu tetapi hanya melalui kerjasama fiskal.
Slovakia hari ini menolak peluasan bantuan EFSF 440 bilion euro (RM1.89 trilion).
Keputusan itu telah menghalang usaha Kesatuan Eropah untuk merombak dana bantuan memandangkan mereka berusaha untuk menangani kegagalan hutang di Greek merebak kepada ekonomi-ekonomi dan bank-bank, dikhuatiri boleh mengakibatkan satu lagi kemelesetan kewangan.
Berikutan itu, Brown meminta Kumpulan 20 dan ekonomi-ekonomi baharu muncul untuk memainkan peranan bagi mengatasi krisis di Eropah dan Amerika Syarikat, yang mana boleh menganggu pasaran-pasaran baharu muncul.
Beliau membayangkan, pinjaman daripada China dan negara-negara minyak yang kaya juga sebagai salah satu usaha.
Tambahnya, pasaran-pasaran baharu muncul kini hanya bergantung kepada permintaan daripada ekonomi-ekonomi maju yang mempunyai populasi yang kecil.
''Sekiranya ekonomi Eropah tidak berkembang dalam beberapa tahun akan datang, seluruh dunia akan menderita,'' kata Brown. - AFP

Selasa, 11 Oktober 2011

Moody's unjur ekonomi AS meleset 12 bulan lagi



WASHINGTON 11 Okt. - Kegagalan ahli-ahli politik mencapai kata sepakat berhubung pengurangan defisit dan tindakan menyalahkan pemimpin Eropah secara berterusan boleh menyebabkan Amerika Syarikat (AS) terjerumus dalam kemelesetan ekonomi dalam tempoh 12 bulan akan datang.
Ketua Ekonomi Moody's, Mark Zandi berkata, ekonomi AS hanya boleh berkembang 2.0 peratus setahun pada separuh kedua 2011 dan meningkat 2.5 peratus pada 2012 dengan syarat ahli-ahli politiknya mengurangkan perbelanjaan.
''Ekonomi AS berkembang tetapi yang kecewa pertumbuhannya yang perlahan menyebabkan ia mudah terjejas dan terjerumus jika berlaku masalah,'' katanya.
Zandi menambah, tinjauan masih samar tetapi mengunjurkan AS mempunyai potensi 40 peratus peluang untuk terjerumus dalam kemelesetan ekonomi dalam tempoh enam hingga 12 bulan.
Tegasnya, terdapat tiga ancaman besar kepada pemulihan ekonomi iaitu krisis hutang Eropah, penutupan krisis AS dan pertikaian besar antara Kongres dan pentadbiran AS berhubung polisi fiskal.
''Tinjauan kami, AS boleh dielakkan daripada kemelesetan kerana pada jangkaan kami menjangka pembuat polisi bertindak dalam beberapa bulan ini,'' tambah beliau.
Isu-isu utama adalah sama ada kedua-duanya menyetujui pelan bajet defisit yang tidak akan mengurangkan perbelanjaan dalam masa singkat dan sama ada mereka bersetuju untuk melanjutkan program pengurangan cukai pendapatan yang boleh memberi lebih banyak tunai kepada pekerja-pekerja untuk berbelanja.
Zandi juga memberi amaran ketiadaan tindakan oleh pembuat dasar di Eropah, yang didakwa oleh Moody's sudah terjerumus dalam kemelesetan, akan merebak merentas Atlantik boleh menyebabkan pertumbuhan AS terganggu. - AFP

Sabtu, 1 Oktober 2011

DINAR EMAS

 Dinar adalah syiling emas. Ia diperbuat daripada emas 22 karat (916) serta mempunyai berat 4.25 gram. Spesifikasi ini telah ditetapkan oleh Khalifah Umar Al-Khattab


Penggunaan Dinar Emas Cetak
Dinar boleh digunakan sebagai:

1. Penyimpan kekayaan
2. Untuk membayar zakat
3. Untuk membayar mas kahwin
4. Sebagai hadiah
5. Sebagai medium pertukaran yang sah bagi urusan jual beli.


 
Dinar sebagai penyimpan kekayaan.

Masyarakat di seluruh dunia mengiktiraf emas sebagai simbol kekayaan, kekuasaan dan kecantikan. Emas mempunyai nilai intrinsiknya yang tersendiri dan nilainya tidak mungkin menjadi sifar. Selain itu, sifatnya yang cantik, sukar ditemui dan unik menyebabkan manusia menghargai emas.
Sejarah membuktikan bahawa emas merupakan penyimpan nilai terunggul apabila wang kertas mengalami kemerosotan nilai.
Dengan menyimpan sebahagian daripada aset anda di dalam bentuk emas, anda mempunyai insurans untuk melindungi kekayaan anda
.

Untuk membayar zakat.
Sejak awal lagi, zakat dibayar menggunakan dinar dan dirham. Pembayaran zakat tidak pernah menggunakan wang kertas sehinggalah kejatuhan kerajaan Uthmaniyah.
Ini kerana zakat perlu dibayar menggunakan aset yang nyata, di dalam Bahasa Arab dipanggil "ain". Zakat tidak boleh dibayar dengan janji untuk membayar (atau hutang, di dalam bahasa Arab dipanggil "dayn".
Dinar dan dirham adalah termasuk dalam kategori 'ain' manakala wang kertas pula termasuk di dalam kategori 'dayn'.
Wang kertas dipanggil 'fulus' kerana ia hanya mewakili wang dan ia tidak mempunyai nilai sebagai barangan.
Oleh yang demikian, adalah penting bagi umat Islam untuk beralih kepada dinar dan dirham sebagai medium pembayaran zakat.
 

Untuk membayar mas kahwin.
Mas kahwin ialah dibayar oleh seorang suami kepada bakal isterinya. Ianya dibayar kepada isteri sebagai tanda menghormatinya dan juga menunjukkan kesungguhan mengahwininya seta tidak sewenang-wenangnya memasuki kontrak perkahwinan tanpa rasa tanggungjawab di pihaknya.
Di Malaysia misalnya, salah seorang artis popular yang menggunakan dinar sebagai mas kahwin ialah M Nasir ketika berkahwin dengan Marlia Musa. Mas kahwin mereka ialah 13 dinar.
 

Dinar sebagai hadiah.
Memandangkan emas mempunyai sifat cantik, sukar diperoleh dan mempunyai nilai intrinsiknya yang tersendiri, ia amat sesuai diberikan sebagai hadiah. Ini kerana emas begitu dihargai oleh manusia. Sebab itu kita boleh lihat generasi tua mewariskan barangan kemas kepada generasi muda, contohnya subang, rantai, gelang cincin dan sebagainya.

Sebagai medium pertukaran yang sah bagi urusan jual beli.
Emas ialah wang yang terunggul. Kenapa? Kerana ia memenuhi ciri-ciri sebagai wang. Ianya sukar diperoleh, cantik, mudah dibahagikan, mudah dibawa, diterima oleh seluruh manusia dan tidak boleh dimusnahkan.
Sejak 3000 tahun emas telah digunakan sebagai wang oleh manusia (syiling emas pertama dite mpa di Lydia kira-kira 700 tahun SM). Fungsi emas yang utama telah dikenal pasti sebagai medium pertukaran yang unggul. Sejarah wang kertas dan logam murah yang tidak disandarkan kepada emas dan perak cuma bermula kira-kira 40 tahun (1970 sehingga sekarang)